Seperti yang kita sedar, terdapat golongan yang ingin menjana pendapatan di internet termasuk diri saya sendiri. Siapa yang tak mahu jika ditawarkan untuk hanya bekerja dari rumah sahaja tanpa perlu untuk bersusah payah menghabiskan minyak kereta (mentang - mentang minyak dah naik harga) untuk pergi ke pejabat, atau bekerja di bawah arahan orang (boss besar).

Malah, jika pendapatan yang diperolehi hasil daripada menjalankan perniagaan di internet adalah melebihi daripada pendapatan kerja dibawah orang, sudah tentu hal ini menjadi pilihan utama kita semua.

Terdapat 2 perbezaan golongan yang menjana pendapatan di internet iaitu golongan yang semata - mata buat duit di internet dan golongan yang “membangunkan perniagaan” di internet. Rata - rata daripada kita akan bermula dengan konsep pemikiran “aku nak buat duit kat internet“… atau “aku nak jana pendapatan dari internet“…

Saya ingin akui bahawa pada satu ketika dahulu, ideologi saya adalah begitu… Apa yang saya nampak ketika itu adalah “semata - mata nak buat duit sahaja” dari internet. Macam - macam perkara saya cuba… bermula dari autosurf, join program A, B, C… Ya, saya berjaya “buat duit” dari program begini namun hasilnya tidaklah memuaskan… hanya sekadar cukup buat duit minum kopi sahaja. Saya juga cuba untuk membuat jualan produk digital MRR, RR pada ketika itu namun gagal untuk mencapai kejayaan yang sepenuhnya kerana tiada strategi serta tidak faham dengan konsep sebenar jualan di internet.

Saya cuba dan cuba, saya tetap gagal… Kalau nak dikira jumlah duit yang habis tu, tak payah diceritalah. Dalam tempoh pembelajaran ini, sememangnya seseorang newbie (yang tak tau apa - apa tentang perniagaan di internet) akan habis sejumlah wang disebabkan keghairahan yang membuak - buak untuk mengetahui sesuatu perkara.

Namun, keghairahan saya terhenti setelah saya menyertai satu komuniti internet marketing (membership) international yang diperkenalkan oleh rakan saya iaitu mdhilmi pada hujung tahun 2006 yang mana membership ini telah membawa satu perubahan besar dalam kehidupan saya sebagai seorang “newbie” yang ingin mempelajari selok belok internet marketing.

Dalam membership ini, saya mula mengenal konsep sebenar menjalankan perniagaan internet. Daripada mempunyai ideologi “buat duit semata - mata, ia telah berubah kepada ideologi “membina empayar perniagaan“.

Rata - rata newbie beranggapan untuk “buat duit” di internet ini sangat senang. Malah ada yang berangan - angan untuk menjana Jutaan Ringgit hanya daripada internet lebih - lebih lagi melihat kejayaan Dr Irfan Khairi yang dikenali sebagai Jutawan Internet.

Nasihat saya, hentikan angan - anganmu itu… Berpijak pada realiti. Nak buat duit semata - mata di Internet memang sangat senang JIKA anda mempunyai kelebihan seperti melakukan programming, kepakaran designing, serta lain - lain pengetahuan komputer (advanced user). Hanya dengan menawarkan khidmat berdasarkan kepakaran yang dimiliki, dalam masa 24jam pun golongan ini sudah boleh menjana wang.

Tetapi jika anda tak ada apa - apa kelebihan, hentikan angan - angan anda. Tiada jalan lain untuk “buat duit” di internet melainkan melengkapkan diri dengan ilmu yang diperlukan. Proses ini sudah semestinya akan mengambil masa. Setiap orang berbeza masa yang diperlukan. Ada yang dalam masa sebulan sahaja sudah mampu untuk menjana wang, ada yang mengambil masa berbulan - bulan. Malah ada juga yang mengambil masa bertahun - tahun untuk mula menjana wang.

Semua ini bergantung kepada tahap usaha, daya tahan, kesabaran serta kesungguhan yang diletakkan oleh setiap individu tersebut.

Berbalik kepada tajuk asal kita iaitu Buat Duit Di Internet VS Empayar Perniagaan Di Internet, apa bezanya? Ada golongan yang sudah berpuas hati jika mereka berjaya buat duit di internet. Bagi mereka, dapat jual sesuatu perkara atau perkhidmatan dan mendapat bayaran daripada kerja tersebut, ia sudah menjadi satu kejayaan bagi mereka. Mereka berjaya menjana wang di internet.

Namun bagi golongan yang lagi satu, mereka tidak akan berpuas hati selagi mereka tidak memiliki sebuah empayar perniagaan yang besar. Maksud empayar perniagaan ini adalah merangkumi dari pelbagai aspek sama ada daripada kepelbagaian produk sendiri yang dipasarkan serta perkhidmatan yang ditawarkan dalam keadaan yang professional serta dikenali ramai.

Ideologi “buat duit” semata - mata di internet hanya bersesuaian untuk digunapakai untuk jangka masa pendek (short term). Setiap daripada kita sememangnya akan menggunakan ideologi ini untuk menjana pendapatan.

Ideologi “empayar perniagaan” di internet ini pula adalah bersesuaian kepada mereka yang mempunyai visi dan misi yang ingin dicapai dalam satu jangka masa yang ditetapkan (mengikut logik masa). Kebiasaannya proses ini sememangnya mengambil masa bertahun - tahun untuk dicapai.

Persoalan: Adakah salah untuk mempunyai ideologi buat duit semata - mata?

Bagi saya, ia tidak salah kerana ia bergantung kepada individu terbabit. Walaubagaimanapun, hanya dengan ideologi buat duit semata - mata, ia tidak akan mampu membawa anda ke mana - mana. Anda mungkin kaya pada hari ini, tetapi tidak pada hari esok. Ini adalah kerana jika anda tidak berusaha pada hari esok, maka tiada pendapatan buat anda.

Sebagai contoh, mungkin hari ini anda jalankan Google Adsense dan menjana pendapatan yang cukup lumayan… namun bagaimana jika program ini ditutup pada esok hari?… (Anda tahu jawapannya…) Hanya menjalankan program Google Adsense, anda tidak boleh mengatakan anda menjalankan perniagaan di internet. Google Adsense adalah satu bentuk program dan sudah semestinya hal ini sangat berbeda dengan perniagaan.

Berbanding dengan memiliki empayar perniagaan, anda sebenarnya membina pelbagai saluran paip yang menyumbang kepada pendapatan anda. Dengan memiliki empayar perniagaan juga, anda mampu untuk tidak bekerja sepenuhnya tetapi sebaliknya hanya perlu memantau sahaja perniagaan anda dan menambah lagi apa yang patut ditambah. Sudah semestinya apabila anda telah membina empayar perniagaan ini, anda memiliki sekumpulan network yang bekerja untuk anda.

Proses ini umpama menanam dan menjaga pokok. Bermula daripada biji benih yang anda semai, anda jaga benih tersebut sehingga menjadi sebuah pokok yang besar. Jika kita lihat pada pokok - pokok yang berada disekeliling kita, ia dipenuhi dengan dahan - dahan yang besar seterusnya kepada ranting - ranting yang kecil. Jika baik penjagaannya, maka akan penuhlah pokok tersebut dengan dedaun yang menghijau serta bunga - bunga yang indah.

Tidakkah anda mahu memiliki empayar perniagaan yang sebenar berbanding hanya membuat duit di internet?

Kesimpulannya di sini, sebelum anda mula berhasrat untuk menjana wang dengan serius menerusi internet, persiapkan rancangan perniagaan internet anda terlebih dahulu. Tetapkan apakah matlamat yang ingin anda capai dalam satu jangka masa. Dengan memiliki pelan perancangan yang baik, anda dapat menentukan tahap yang ingin anda capai.

Pelan perancangan perniagaan internet anda sudah semestinya perlu merangkumi pelan perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Ini adalah kerana, untuk pelan perancangan jangka masa panjang, anda sudah semestinya memerlukan “fund” dan fund ini haruslah datang daripada pelan perancangan masa pendek.

Bergerak mengikut perancangan adalah lebih baik daripada bergerak daripada membuta tuli atau mencuba sebarangan.

Akhir kata, sudahkah anda merancang pelan perniagaan anda atau anda hanya melakukan “terjah” semata - mata? :)

p.s - role model yang harus dicontohi adalah seperti saifulsham. Walaupun saya tidak mengenali mereka secara dekat, namun saya amat kagum dengan pencapaian mereka serta empayar perniagaan yang mereka miliki. (Saya berharap saya mempunyai kelapangan untuk bertemu dengan mereka kelak dalam seminar yang mereka anjurkan… Mereka sememangnya mentor yang sudah terbukti berjaya dengan perniagaan yang mereka lakukan)

p.p.s - sumber - sumber motivasi yang mempunyai konsep kepada pembinaan empayar perniagaan ini dan sering juga menjadi motivasi kepada saya adalah daripada saudara Smartzul. Beliau banyak menekankan konsep keusahawan dalam artikel - artikel yang dipersembahkan.

p.p.p.s - Anda… ya.. anda… jika masih tercari - cari, saya amat syorkan anda merancang perjalanan anda dengan baik dalam proses membangunkan perniagaan anda di internet. Pilih jalan anda… Adakah anda ingin menjana pendapatan semata - mata atau menjadi seorang yang memiliki sebuah empayar perniagaan yang besar serta dikenali ramai ? Tepuk dada, tanya selera.. (jangan tepuk kuat - kuat udah la yer? :p ) Jika seorang remaja umur 18 pun mampu merancang pelan perniagaan mereka, mengapa tidak kita yang lebih dewasa dan mempunyai lebih pengalaman tidak mampu mengikutnya?